Kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dari Singapura, Mohamad Daniel Mohamad Nasser yang mati akibat didera ibu kandung dan teman lelakinya sebelum ini mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana anak sekecil itu dipukul dan disakiti sebegitu teruk oleh ibu yang sepatutnya melindungi dirinya.

Jika kita insan yang tidak mengenali Daniel geram dan sedih dengan perlakuan kejam itu apatah lagi perasaan bapanya.

Lebih memilukan Mohamad Nasser Abdul Ghani yang sangat berharap untuk bertemu Daniel hanya dapat memeluk tubuh anaknya itu ketika dia sudah tidak bernyawa.

Dia yang tidak pernah bertemu Daniel kerana berada di penjara semasa kelahiran Daniel meluahkan rasa sedih kerana dia tidak berpeluang untuk berjumpa  sewaktu anaknya masih hidup.
Semasa di penjara, Nasser mengira setiap detik menunggu hari pembebasannya supaya dia boleh berjumpa dengan Daniel dan memeluk erat anaknya itu.

Tetapi, harapannya tidak kesampaian. Daniel meninggal dunia pada 23 November tahun lalu kira-kira sebulan sebelum menyambut hari jadinya yang ketiga, selepas hampir 25 hari didera oleh ibu kandungnya sendiri, Zaidah.

“Saya tidak dapat berjumpa dengannya semasa dia masih hidup. Saya hanya berpeluang memegang dan memeluk Daniel ketika dia sudah kaku dan tidak bernyawa lagi,” kata Nasser memetik laporan dari portal berita Singapura www.straitstimes.com
http://support.karangkraf.com/editorial/vk/TAHUN%202016/Jun/29/bapa.jpg
Menurut Nasser, dia telah menghabiskan 18 bulan di penjara dari Disember 2012 sehingga Jun 2014 kerana disabit bersalah bagi kesalahan membabitkan dadah.

Beberapa minggu selepas berada di dalam penjara, Nasser telah diminta oleh seorang pegawai penjara untuk menandatangani dokumen yang mengesahkan dia merupakan seorang bapa kepada budak lelaki bernama Daniel.

Selepas mendapat tahu dia bakal bergelar bapa, Nasser berjanji kepada dirinya bahawa dia akan mencari anaknya itu sejurus selepas selesai menjalani hukuman.
Tetapi, selepas dibebaskan, Nasser mendapati Zaidah tidak lagi menetap di rumah yang lama dan telah berpindah.

Nasser menghubungi sahabat Zaidah untuk menjejaki isterinya itu supaya dia boleh berjumpa anaknya. Setelah setahun berusaha, akhirnya Nasser berputus asa dan menerima hakikat bahawa dia tidak mungkin berjumpa dengan anaknya itu lagi.

Kira-kira lima bulan selepas itu, Nasser akhirnya mendapat berita tentang Daniel daripada seorang pegawai polis yang memaklumkan kepadanya tentang kematian Daniel.

Polis itu juga mengesahkan bahawa Daniel telah meninggal dunia akibat didera oleh Zaidah dan teman lelakinya. Dengan perasaan sedih dan terkilan dengan kejadian yang menimpa Daniel, Nasser mencekalkan dirinya pada keesokan hari di mana dia berpeluang melihat Daniel buat pertama kali.

“Badan kecil Daniel dipenuhi luka dan lebam-lebam. Saya tidak dapat membayangkan darah daging sendiri disakiti dan diseksa sebegitu,” kata Nasser.
http://support.karangkraf.com/editorial/vk/TAHUN%202016/Jun/29/burial1.jpg
Nasser mengambil mayat Daniel dari hospital pada 30 November namun ia merupakan kali pertama dan terakhir dia melihat anak kandungnya. Daniel dikebumikan oleh ahlli keluarganya pada hari yang sama, pada waktu petang.

Adik Naseer, Abdul Manaf Al Ansari berkata mereka tidak pernah berjumpa dan tidak mengenali Daniel, tetapi mereka memastikan Daniel dikebumikan dengan betul dan sempurna.

Terdahulu Daniel ditemui dalam keadaan tidak bermaya pada 23 November 2015 selepas terjatuh ke lantai akibat disepak oleh Zaini. Dia kemudian menghembuskan nafas terakhir dan pemeriksaan mendapati kematian Daniel adalah akibat pendarahan dalam otak.

Antara penderaan yang dilakukan Zaidah dan Zaini, memijak tubuh Daniel, memaksa anak kecil ini berdiri dalam tempoh lama dengan tangan diletakkan di kepala hanya dengan memakai lampin sebagai hukuman. Mereka juga memaksa Daniel memakan cili.


Sumber http://www.straitstimes.com
via vanillakismis.my